Tuesday, June 9, 2015

Gigi saya semakin Pendek?

Apakah Gigi Haus? – Dr. Anis Ezrina

Source: topnews.in

Apabila bercakap tentang  gigi haus, ia adalah satu keadaan yang menggambarkan bahawa gigi telah kehilangan strukturnya bukan disebabkan karies atau lubang pada gigi atau perkembangan abnormal gigi. Ia adalah proses fisiologi yang normal berkaitan dengan peningkatan usia. Satu kajian  telah menyatakan bahawa setiap orang mengalami kehausan gigi sebanyak 20-38µm dalam setahun. Namun begitu, gigi haus menjadi suatu masalah sekiranya kadar kehausan melebihi  20-38µm setahun sehingga menyebabkan pendedahan saraf gigi.
Bagaimana  gigi menjadi haus?
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan gigi menjadi haus.  Antaranya ialah:
  1. Memberus gigi  menggunakan berus gigi keras  dan terlalu lama
  2. Mempunyai sikap mengunyah gigi semasa tidur atau dalam keadaan stress
  3. Pengambilan minuman berkarbonat, minuman tenaga (REDBULL), jus buah, alkohol
  4. Pengambilan jeruk, buah yang berasid seperti limau, cuka
  5. Pengambilan ubat tertentu seperti Vitamin C, aspirin secara berlebihan, ventolin
  6. Pesakit yang mengalami anorexia nervosa dan bulimia nervosa (self-induced vomiting) GORD (gastro-oesophageal reflux disorder)
Apakah ciri-ciri pada pesakit?
  1. Muka pesakit akan nampak lebih tua dan seakan-akan memakai gigi palsu
  2. Pembesaran otot muka, terjadi terutama kepada pesakit yang mempunyai sikap mengunyah gigi
  3. Pembesaran kelenjar parotid terutama pesakit bulimia
  4. Xerostomia (kurang air liur)
Untitled09
Selepas rawatan
Sebelum rawatan
Sebelum rawatan
Apakah tanda-tanda gigi haus?
  1. Gigi menjadi pendek dan bergerigi
  2. Permukaan gigi berbentuk lopak/facet
  3. Jika ada tampalan, tampalan itu akan kelihatan terbonjol keluar, tidak disokong oleh struktur gigi
  4. Gigi nipis
Bagaimana rawatan?
Sebelum menjalankan  rawatan, pegawai pergigian perlu mengenal pasti apakah faktor penyebab gigi haus, adakah faktor pemakanan, faktor  ‘habit’ yang suka mengunyah gigi, atau faktor perubatan. Jika ia melibatkan faktor perubatan, rujukan kepada pegawai perubatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pegawai pergigian menjalankan rawatannya. Selalunya, rawatan perlu jika berlaku:
  1. Kecacatan estetik – gigi yang pendek, patah, gigi berubah warna
  2. Kesukaran mengunyah
  3. Gigi terasa sensitif dan sakit
Pada awalnya, pesakit akan dinasihat untuk mengubah gaya hidup dengan mengurangkan pengambilan minuman atau makanan yang berasid. Rawatan akan dimulakan dengan merawat gigi yang bermasalah seperti gigi berkaries, ada masalah gusi  dan gigi yang perlu dicabut.
Splint
Splint
Kemudian ia diteruskan dengan rawatan pencegahan di mana pemberian fluoride 0.7% di klinik diikuti penggunaan fluoride stannous 0.4% di rumah. Pesakit juga dicadangkan menggunakan “Tooth Mousse ACP (GC)” yang boleh membantu ‘remineralization’ pada permukaan gigi. Terapi splint juga akan diberi kepada pesakit untuk digunakan pada jangka masa tertentu. Selain daripada itu restorasi gigi menggunakan tampalan sewarna, korona atau jambatan juga akan dilakukan. Objektif utama pengurusan pesakit ‘gigi haus’ adalah mengelakkan dari proses gigi haus secara patologi (pathological wear) itu menjadi berlanjutan. Justeru itu, pesakit akan  diperiksa secara berkala agar masalah gigi haus ini dapat dikawal. Pada akhir rawatan, pegawai pergigian akan mengambil gambar  pesakit dan acuan gigi pesakit sebagai ‘baseline’ untuk kita menyelia proses masalah gigi haus pada pesakit. Jika kita dapati masalah ini kekal dan sama seperti temujanji sebelumnya, maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa proses gigi haus adalah stabil dan berada dalam keadaan normal iaitu 20-38µm/tahun.
Dr. Anis Ezrina (DDS) (UKM), (MRestDent) (Newcastle, UK) adalah seorang doktor gigi yang bekerja di Kedah.
Rujukan
  • Current concepts on the management of tooth wear: Part 1 Assessment, treatment planning and strategies for the prevention and the passive management of tooth wear. BDJ 2012; 212:17-27

Tuesday, June 2, 2015

Kursus Modern Endodontic And Rubber Dam Isolation


Rawatan endodontik atau juga lebih dikenali sebagai rawatan akar adalah rawatan bagi merawat gigi yang telah rosak teruk samaada jangkitan pada tisu pulpa atau gigi yang telah mati. Ini membolehkan gigi tersebut tidak perlu dicabut dan terus kekal berfungsi di dalam mulut. Menyedari kepentingan rawatan endodontik yang kini semakin menjadi pilihan pesakit, Unit Kepakaran Pergigian Restoratif Negeri Perlis telah menganjurkan satu kursus 'Modern Endodontic And Rubber Dam Isolation Technique' untuk pegawai pergigian Negeri Perlis bagi tahun 2015.

Kursus seumpama ini yang pertama kali dianjurkan di Perlis bertempat di Bilik Serbaguna, Kompleks Jabatan Kesihatan Negeri Perlis pada 20-21 Mei 2015. Kusus ini dihadiri seramai 18 orang peserta yang terdiri daripada pegawai pergigian dari setiap klinik pergigian di Negeri Perlis. Dr Isma Liza Ali, Pakar Pergigian Restoratif merupakan penyelaras dan juga penceramah bagi kursus tersebut. Beliau turut dibantu oleh 2 orang fasilitator iaitu Dr Intan Shahriza Zainuddin dan Dr Siti Nurhani Abdul Halim yang merupakan pegawai pergigian yang bertanggungjawab bagi Klinik Endodontik Pergigian Primer Kawasan Kangar dan Arau.

Objektif am kursus ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam rawatan endodontik. Manakala objektif khusus kursus adalah :
1. Untuk meningkatkan kemahiran pegawai pergigian dalam penggunaan Hand Protaper.
2. Untuk menigkatkan kemahiran pemasangan rubber dam.
3. Untuk membentuk budaya pergigian yang berpengetahuan dan terlatih secara holistik.

Kursus selama 2 hari ini merangkumi beberapa slot ceramah dan juga sesi 'Hands-on'. Peserta-peserta diberi penerangan yang terperinci berkenaan dengan rawatan endodontik dan turut diberi peluang untuk memasang sendiri rubber dam dan menggunakan Protaper pada gigi molar yang disediakan. Sepanjang kursus berlangsung, masalah-masalah yang selalu dihadapi ketika rawatan endodontik dapat diutarakan terus kepada Pakar Restoratif. Slot ceramah oleh wakil syarikat juga mendedahkan kepada para pegawai akan beberapa teknologi rawatan pergigian yang terkini di pasaran.









Kursus ini banyak membantu pegawai pergigian untuk memberikan rawatan endodontik yang terbaik kepada pesakit. Jutaan terima kasih diucapkan kepada Unit Kepakaran Pergigian Restoratif atas penganjuran kursus yang sangat bermanfaat kepada semua. Diharapkan kursus sebegini akan diadakan lagi pada masa akan datang dan semoga semua peserta akan mempraktikkan apa yang telah diperolehi sepanjang kursus ini.