Tuesday, May 12, 2015

Kesan Penyusuan Ibu kepada Perkembangan Mulut & Muka Bayi – Dr. Marini Ismail

Susu ibu telah terbukti dapat memberikan banyak maslahat kepada bayi yang baru lahir termasuklah dari segi bekalan nutrisi dan kesihatan bayi. Namun begitu, tahukah anda bahawa kaedah penyusuan samada menerusi payudara atau botol sebenarnya memberikan impak yang berbeza kepada bayi dari segi perkembangan muka dan rahang serta susunan gigi dalam jangka masa yang panjang?
Sebenarnya teknik bayi menghisap susu melalui payudara memerlukan kemahiran otot yang berbeza berbanding dengan penyusuan melalui botol.

Apabila bayi menyusu badan, lidah dan rahangnya perlu bergerak seiring. Lidah bayi perlu berada di bawah areola iaitu kawasan berpigmen (coklat) di sekeliling puting payudara dan menekannya ke lelangit. Keadaan itu menyebabkan tisu di bahagian berkenaan mengalami tekanan dan memanjang mengikut corak hisapan penyusuan bayi terbabit. Pada masa yang sama, bayi perlu berusaha untuk mengeluarkan susu dan dengan demikian, otot muka bayi terpaksa bekerja keras untuk mengulangi proses hisapan dengan kuat. Keadaan lelangit keras (hard palate) semasa dewasa berbeza dengan semasa bayi. Lelangit bayi masih lembut dan mudah berubah bentuk selari dengan tekanan yang dikenakan ke atasnya. Semasa proses hisapan, pergerakan otot muka bayi dan kedudukan puting payudara yang ditekan ke lelangit akan membantu dalam perkembangan lelangit yang rata, lebar dan berbentuk ‘U’.

Oleh yang demikian, penyusuan susu ibu melalui payudara memberikan kesan positif terhadap pembentukan rahang dan otot muka, iaitu dengan penggunaan otot dan tulang secara sinergistik yang seterusnya menghasilkan rahang yang berkembang dengan cantik dan simetri. Apabila rahang berkembang dengan baik, gigi susu juga akan tumbuh dengan teratur dan tersusun rapi. Manakala wajah dan struktur muka bayi akan kelihatan lebih terbentuk dengan baik mengikut perkembangan umur.
dental

Keadaan ini berbeza apabila bayi menghisap susu melalui botol. Sekiranya anda memegang botol susu dalam keadaan yang terbalik, susu mudah sahaja terpancut keluar dengan laju. Oleh yang demikian, semasa bayi menghisap susu menerusi botol, dia hanya akan mengangkat lidahnya untuk menahan aliran susu yang laju dari botol untuk mengelakkannya dari tersedak atau tercekik sahaja.

Sepanjang proses menyusu, bayi hanya perlu menekan puting getah yang keras tanpa menggunakan rahangnya untuk menghisap susu. Penggunaan otot muka dan rahang yang sedikit dan tanpa usaha gigih semasa menghisap susu melalui puting getah boleh membantutkan perkembangan rahang dan otot muka yang optimum, seterusnya lelangit tidak dapat berkembang dengan baik.

Kesan penggunaan jangka lama botol susu dan puting pada gigi kanak-kanak berusia bawah tiga tahun akan menyebabkan proses pertuturan mereka lambat berkembang.

Disamping itu, bayi yang menyusu melalui botol juga mudah terdedah kepada masalah tabiat menghisap jari yang berlarutan sehingga berumur 5 tahun dan ke atas. Tabiat menghisap jari yang berpanjangan boleh menyebabkan gigitan gigi depan terbuka dan menghasilkan lelangit yang sempit dan berbentuk ‘V’. (Rujuk: http://www.mmgazette.com/is-your-child-a-thumb-sucker-dr-husna-razak/)
dental2

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan American Academy of Pediatrics (AAP) menyarankan penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi bayi sepanjang 6 bulan pertama kelahirannya. WHO juga seterusnya menyarankan tempoh menyusukan bayi ditambah sehingga bayi berumur dua tahun atau lebih.
Kesimpulannya, penyusuan susu ibu bukan sahaja penting dalam memberi manfaat kesihatan kepada bayi malah dapat membantu membentuk rahang muka dan susunan gigi yang rapi serta menjimatkan kos rawatan pergigian dan ortodontik dikemudian hari.

Sekiranya anda mempunyai masalah berkaitan dengan penyusuan susu ibu, segeralah dapatkan khidmat nasihat dari pakar.

Penghargaan khusus kepada Dr. Aida Nur Ashikin Abd.Rahman, Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Pergigian UiTM Shah Alam dan Associate Prof. Dr. Siti Adibah Othman, Pakar Ortodontik & Pensyarah di Fakulti Pergigian Univ. Malaya di atas nasihat dan sokongan terhadap artikel yang diterbitkan.

Dr. Marini adalah seorang pegawai pergigian yang berkhidmat di Selangor.

Rujukan:

No comments:

Post a Comment