Pengenalan
Alahan adalah keadaan di mana tubuh kita menjadi terlalu sensitif
terhadap sesuatu bahan (antigen) dan akan mengakibatkan berlakunya
gejala-gejala tertentu apabila seseorang terhidu, tertelan, tercucuk
mahu pun tersentuhnya. Lazimnya, antibodi dalam aliran darah dan tisu
tubuh akan bertindakbalas dan memusnahkan antigen tanpa sebarang
masalah. Tetapi bagi mereka yang mempunyai alahan, bahan-bahan tertentu
yang menyebabkan alahan tersebut (alergen) akan menghasilkan
antibodi-antibodi yang bergabung dengan bahan kimia tertentu di dalam
tubuh. Tindakbalas seterusnya di antara alergen dan gabungan antibodi
tersebut mengakibatkan kerosakan sel, penghasilan bahantara kimia
(chemical mediator), keradangan dan menimbulkan semua gejala-gejala
alahan. Alahan-alahan yang berbeza akan menyerang tisu badan yang
berbeza dan akan menyebabkan kesan setempat atau menyeluruh seperti
lelah (asthma), keradangan kulit (dermatitis), atau keradangan perut
(gastroenteritis) atau renjatan (shock) yang serius yang boleh
mengakibatkan kematian.
Kebanyakan tindakbalas alahan adalah ringan, namun ada juga yang teruk
dan memudaratkan. Pada kebiasaannya reaksi alahan ini terjadi pada
mereka yang mempunyai riwayat keluarga yang mempunyai alahan. Sesetengah
bahan yang tidak menyebabkan sebarang reaksi alahan pada seseorang
individu (termasuk ubat-ubatan) boleh menyebabkan alahan pada individu
yang lain.
Penyebab alahan yang terjadi di klinik pergigian boleh disebabkan oleh beberapa jenis bahan dan ubat-ubatan seperti:
-
Latex (getah)
Latex boleh didapati pada kebanyakan alat dan bahan-bahan perubatan dan pergigian seperti penutup mulut, sarung tangan, picagari, empangan getah baji, alat pembersih gigi, getah elastik ortodontik, penahan endodontik dan sebagainya. Kebanyakan bahan kegunaan harian diperbuat dari latex sintetik (bukan getah asli) manakala latex asli diperbuat dari susu getah asli. Sesetengah individu adalah sensitif kepada protein yang dihasilkan dari bahan getah asli dan alah kepadanya. Jika anda merasa anda alah kepada latex, berbincanglah dengan doktor gigi anda agar bahan bebas latex jika ada digunakan semasa rawatan pergigian.
-
Anestetik setempat
Anestetik setempat digunakan untuk mengebaskan mulut dan gigi semasa melakukan rawatan pergigian tertentu. Walaupun alahan pada bahan anestetik lokal jarang berlaku, tetapi ia boleh dan pernah berlaku. Jika anda pernah mengalami alahan pada anestetik setempat, pastikan anda memaklumkan perkara ini kepada doktor gigi anda sebelum mendapatkan sebarang rawatan. Doktor gigi anda boleh menggunakan alternatif lain bagi merawat anda. Jika tiada ruam ataupun kebengkakan tisu kemungkinan ia bukan alahan yang sebenar. Apa yang sering berlaku adalah apabila larutan anestetik setempat disuntik termasuk ke dalam aliran darah akan menyebabkan denyutan jantung yang cepat (tachycardia) secara sementara ataupun pesakit pengsan akibat terlalu takut untuk menjalani rawatan.
-
Ubat-ubatan
-
Antibiotik
Penisilin dan antibiotik yang berkaitan dengan penisilin atau sebarang antibiotik lain boleh menyebabkan reaksi alahan pada sesetengah individu. Tetapi tidak semua reaksi terhadap penisilin merupakan alahan kepada ubat tersebut. Reaksi alahan yang sebenar terhadap penisilin melibatkan sistem imun tubuh di mana tanda dan gejalanya adalah dari ruam ke gejala yang boleh menyebabkan kematian (anafilaksis) degan tekanan darah yang rendah dan kesukaran bernafas.
Tanda dan gejala alahan kepada penisilin termasuklah: kemerahan pada kulit (hive), ruam, gatal-gatal, bunyi siulan dalam pernafasan (wheezing), bengkak pada bibir, lidah dan muka. Maklumkan kepada doktor gigi anda jika mempunyai sebarang tanda alahan kepada penisilin. Doktor gigi anda akan menentukan samada anda benar-benar mempunyai alahan dan tukar kepada antibiotik lain Berbincanglah dengan doktor gigi jika anda tahu yang anda alah kepada penisilin atau anda rasa mempunyai tanda-tanda alah kepada penisilin. Jika boleh jumpalah doktor gigi anda sewaktu alahan itu berlaku bagi memastikan ia benar-benar reaksi alahan kepada penisilin dan memudahkan doktor gigi membuat diagnosis.
Hubungi jabatan kecemasan jika anda mempunyai sebarang tanda atau gejala anafilaksis.
-
Ubat penahan sakit
Terdapat juga pesakit yang alah kepada ubat penahan sakit seperti ubat anti-inflamasi bukan steroid (NSAIDS) .Ubat ini berfungsi sebagai penahan sakit, anti-piretik (merendahkan kenaikan suhu tubuh apabila demam). Jika digunakan dalam dos yang tinggi, ia juga berfungsi juga sebagai anti-keradangan (anti-inflammatory).. Sebahagian pesakit lelah (asthma) menjadi lebih teruk keadaannya dengan mengambil NSAIDS. Jika pesakit lelah tersebut mempunyai sinusitis kronik/polip nasal(ketumbuhan dalam hidung), kebarangkalian untuk alah kepada NSAIDS adalah lebih tinggi. Kebanyakan alahan yang dilaporkan berkisar dari ringan ke keadaan yang boleh menyebabkan kematian,. antaranya adalah: gejala pada kulit seperti gatal, kemerahan (hives)dan bengkak, gejala pernafasan seperti radang hidung (rhinitis), asma dan juga anafilaksis.
Rawatan untuk alahan pada NSAIDS adalah menghentikan terus penggunaannya. Perlu diketahui bahawa banyak ubat-ubatan di pasaran yang mengandungi aspirin atau NSAIDS yang lain.
-
Ubat gigi
Ramai orang tidak sedar yang mereka alah kepada ubat gigi kerana ia jarang berlaku dan sukar untuk dikenalpasti. Ubat gigi mengandungi berbagai kandungan menyebabkan kesukaran mengetahui bahan yang mana menyebabkan alahan kepada pesakit. Malah ubat gigi yang dibuat dari herba juga boleh menyebabkan alahan di mana ramai mungkin tidak pernah terdedah kepada bahan yang terkandung dalam ubat gigi herba tersebut. Gejala alahan kepada ubat gigi adalah pelbagai daripada yang ringan hingga ke yang teruk, dan dalam kes-kes terpencil menyebabkan anafilaksis dan kematian.
Di antara gejalanya ialah 'contact dermatitis', di mana kulit kelihatan merah berkeping-keping dan gatal di sekitar bibir dan dagu. Biasanya ia bermula di sudut mulut dan jika tidak dirawat akan melarat ke bawah dan sekeliling bibir bawah. Pada keadaan tertentu gusi menjadi radang dan sakit apabila diberus
Jika anda berasa mengalami alahan kepada sesuatu ubat gigi, tukarlah kepada ubat gigi lain atau gunalah ubat gigi yang mengandungi paling kurang bahan campuran.
Anda juga dinasihatkan untuk mengurangkan jumlah ubat gigi yang diguna dan hendaklah berkumur dengan air sehingga bersih selepas memberus gigi supaya hanya sejumlah kecil sahaja yang tertelan. Adalah penting juga untuk membasuh bahagian muka yang terkena ubat gigi itu
Pergilah berjumpa doktor gigi anda untuk mendapatkan nasihat dan rawatan sementara mendapat kepastian bahan yang menyebabkan alahan dalam ubat gigi tersebut.
-
Ubat kumur
Alahan kepada ubat kumur juga boleh terjadi. Ini disebabkan oleh kandungan yang terdapat dalam ubat kumur tersebut (alkohol, bahan kimia atau perasa). Maklumkan kepada doktor gigi jika anda mengalami sebarang gejala alahan. Terdapat banyak ubat kumur yang berada di pasaran untuk dipilih sebagai alternatif.
-
Antibiotik
-
Bahan-bahan Pergigian
Bahan tampalan/gigi palsu-
Amalgam
Amalgam adalah bahan yang selalu digunakan untuk tampalan. Ia mengandungi campuran merkuri dengan sekurang-kurangnya satu logam yang lain. Alahan kepada amalgam adalah keadaan yang jarang berlaku di mana pesakit bertindakbalas pada sejumlah kecil merkuri yang terkandung dalam amalgam. Alahan ini berlaku apabila sistem imun tubuh terangsang kepada komponen dalam amalgam dan menyangkakan ianya adalah bendasing. Sistem imun kemudiannya akan menyerang bahan tersebut dan menyebabkan gejala-gejala alahan (contoh: ruam, gatal). Individu yang alah kepada amalgam haruslah menggunakan bahan-bahan tampalan lain (contoh: resin, porcelain, emas). Pesakit yang alah kepada amalgam biasanya mempunyai riwayat atau keluarga yang alah kepada logam.
Tampalan amalgam
-
Resin akrilik/kobalt kromium
Gigi palsu dari resin akrilik mengandungi methylmethecrylate (MMA) sebagai sisa monomer. MMA berpotensi menghasilkan iritasi, radang dan alahan kepada mukosa oral. Pesakit biasanya mengadu sakit mulut seperti terbakar (burning mouth sensation). Reaksi alahan biasanya timbul sekitar beberapa jam setelah mukosa mulut terdedah kepada resin tersebut. Jika ia terbukti alahan, pertimbangkan penggunaan gigi palsu yang tapaknya diperbuat dari kobalt kromium ataupun keluli tahan karat. Terdapat juga pesakit yang alah kepada nikel, salah satu dari bahan yang terkandung dalam gigi palsu kobalt kromium. Pesakit ini biasanya mempunyai riwayat alah kepada barang kemas ataupun jam tangan.
Gigi palsu separa diperbuat dari akrilik
Gigi palsu penuh diperbuat dari akrilik
Gigi palsu diperbuat dari kobalt kromium
-
Amalgam
Gejala/Tanda-tanda secara umum
Mereka yang alah akan mempunyai berbagai gejala termasuklah
gatal-gatal, bengkak mata, hidung berair dan bersin. 'Hives', dermatitis
(ruam kulit) dan lelah juga merupakan gejala yang biasa di alami.
Gejala yang paling teruk dan boleh meyebabkan kematian adalah renjatan
anafilaksis, di mana ciri-cirinya adalah seperti rasa panas dan merah
dan panas (flushing) pada seluruh permukaan kulit, 'hives',
bengkak pada mulut dan tekak, kesukaran untuk menelan dan bercakap,
perubahan kadar denyut jantung, sakit perut, rasa mual (nausea)dan muntah, berdebar-debar, rasa lemah secara tiba-tiba (akibat tekanan darah yang jatuh tiba-tiba) dan pengsan.
Bengkak mata |
Ruam - ruam |
Komplikasi
Reaksi alahan yang paling memudaratkan adalah renjatan anafilaksis
(iaitu kebengkakan laring/ pengecutan dan penggetaran bronkus paru-paru
(bronkospasma) / kegagalan jantung).
Cara menangani
Protokol rawatan bagi gejala alahan yang ringan adalah dengan
pengambilan ubat antihistamin dan sapuan steroid. Manakala bagi gejala
yang teruk menggunakan kortikosteroid sistemik dan epinephrine ataupun
adrenalin.
Ujian alahan
Alahan kepada sesuatu bahan boleh dikesan dengan melakukan ujian pada
kulit, di mana alergen disuntik (secara intradermal atau ujian tusukan)
ke dalam kulit atau dengan menampal dresing yang menyerap pada kulit
(patch testing), tetapi cara ini kurang berkesan. Pesakit haruslah
berhenti makan sebarang ubat yang boleh mengganggu ujian alahan ini dua
hari ke enam minggu sebelum ujian tersebut dilakukan. Prosedur ini
melibatkan kontrol positif, kontrol negatif dan pelbagai alergen yang
disyaki. Jika ekstrak tersebut mencetuskan reaksi alahan,akan timbul
seperti gegata (raised red itchy wheal) dalam tempoh lebih kurang 20
minit. Pada amnya, semakin besar tindakbalasnya, semakin sensitif
pesakit terhadap alergen yang diuji. Ujian kulit yang negatif
menunjukkan pesakit tidak alah kepada alergen tersebut.Satu komplikasi
dari ujian sensiviti kulit ini adalah ia boleh menghasilkan sensitiviti
kepada bahan ujian, reaksi anafilaksis kadangkala terjadi berikutan dos
ujian intradermal kulit, terutamanya penisilin. Terdapat juga ujian
makmal untuk menguji alahan seperti PRIST (paper radio-immunosorbent
test) dan RAST (radioallergosorbent test) yang melibatkan pengambilan
sampel darah pesakit untuk diuji di makmal.
Pencegahan
Peranan Pesakit :
Cara yang terbaik ialah mengelak dari menggunakan bahan-bahan yang
menyebabkan alahan. Elakkan dari alergen yang biasanya terkandung dalam
makanan dan minuman yang dihasilkan secara komersil, berbanding dengan
produk semulajadi. Tiada ujian yang dapat meramal kemungkinan berlakunya
reaksi anafilaksis, hanya yang perlu diambil perhatian adalah riwayat
alahan terdahulu. Jika anda mempunyai alahan, pastikan ianya dimaklumkan
kepada doktor gigi dan anggotanya. Pastikan juga maklumat ini direkod
dalam kad rawatan anda. Jika boleh, dapatkan surat dari doktor perubatan
bagi menerangkan keadaan alahan anda. Jika anda mengalami alahan
setelah mendapat rawatan pergigian, rujuklah kepada doktor gigi dan
doktor perubatan anda dengan segera. Jika anda mengalami alahan yang
teruk setelah mendapat rawatan pergigian, segeralah ke jabatan kecemasan
di hospital berdekatan di mana mereka akan mengawas dan merawat anda
dengan segera.
Peranan Doktor gigi :
Pastikan riwayat penyakit pesakit direkodkan dan selalu dikemaskini.
Peralatan kecemasan hendaklah tersedia dan boleh dipakai jika kecemasan
berlaku di klinik dan staf diberi latihan secukupnya untuk menangani
kecemasan.
Kesimpulan
Alahan seharusnya tidak menghalang pesakit dari mendapatkan rawatan
pergigian. Adalah mustahak untuk pesakit pergi berjumpa doktor gigi dua
kali setahun, terdapat cara-cara bagi mengelakkan reaksi alahan.
sumber: www.myhealth.gov.my
No comments:
Post a Comment