Tuesday, September 23, 2014

Amalan Kesihatan Pergigian yang Baik

Kenapa penjagaan kesihatan pergigian penting?

Penjagaan kesihatan pergigian penting untuk mencegah kerosakan gigi dan penyakit gusi di kalangan kanak-kanak. Kesihatan pergigian yang baik membolehkan mereka mengunyah makanan dengan selesa dan bertutur dengan jelas.

Bagaimanakah cara menjaga kesihatan pergigian yang baik?

Amalan penjagaan kesihatan pergigian yang baik merangkumi 3 langkah pencegahan utama seperti berikut:

1. Penjagaaan kebersihan gigi yang baik :
  • Berus gigi sehingga bersih setiap hari terutama selepas makan dan sebelum tidur malam.
  • Guna ubat gigi berfluorida untuk kanak-kanak semasa memberus gigi. Picitkan ubat gigi sebesar biji kacang soya sahaja untuk anak yang berumur 2 tahun ke atas.
  • Selia atau bantu anak anda memberus gigi sehingga mereka berumur 6 hingga 8 tahun.
  • Berkumur-kumur dengan segera selepas makan atau minum jika tidak berkesempatan memberus gigi.
  • Jangan berkongsi berus gigi.
  • Tukar berus gigi jika bulu berusnya mula kembang.
2. Makan secara sihat :
  • Makan makanan yang seimbang. Lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.
  • Elakkan menambah gula ke dalam minuman kanak-kanak. Sekiranya menggunakan botol susu, pastikan minuman tersebut tidak mengandungi gula.
  • Jangan sekali-kali mencelup puting botol susu ke dalam gula atau manisan.
  • Elakkan minum minuman berkarbonat dan jus buah-buahan bergula kerana kandungan gulanya tinggi.


3. Pemeriksaan pergigian secara berkala :
  • Bawalah anak anda berjumpa doktor pergigian atau jururawat untuk pemeriksaan seawal usia untuk membiasakan mereka dengan suasana klinik pergigian.
  • Dapatkan pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya sekali setahun tetapi bagi mereka yang berisiko tinggi mendapat kerosakan gigi ( karies gigi ), pemeriksaan lebih kerap mungkin diperlukan.
  • Segera dapatkan nasihat dan pemeriksaan dari doktor pergigian jika berlaku kecederaan gigi atau mengalami masalah pergigian.


sumber: www.myhealth.gov.my

No comments:

Post a Comment